City seri dengan Sunderland, gagal raih mata penuh

City seri dengan Sunderland, gagal raih mata penuh
01/04/2012 1:32am

MANCHESTER 1 April - Manchester City sekadar mampu seri 3-3 dengan Sunderland di tempat sendiri semalam sekali gus gagal menghampiri kedudukan Manchester United yang hanya akan turun bermain menentang Blackburn pada Isnin ini.

Sebastian Larsson meletakkan Sunderland di hadapan pada minit ke-31 tetapi Mario Balotelli menyamakan kedudukan pada minit ke-42 melalui sepakan penalti.

Nicklas Bendtner menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan separuh masa pertama sebelum Larsson mengukuhkan kedudukan Sunderland pada minit ke-55.

Ketika City dilihat berada di ambang kekalahan, Balotelli kembali menyemarakkan semangat tuan rumah menerusi gol kedua pada minit ke-84 dan Aleksandar Kolarov menyelamatkan maruah tuan rumah daripada tewas kali pertama di tempat sendiri melalui gol penyamaan, seminit kemudian.

Sementara itu, Queens Park Rangers (QPR) mencipta kejutan apabila menumbangkan Arsenal 2-1 di Loftus Road bagi membuka kembali ruang untuk kekal dalam persaingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim hadapan.

Adel Taarabt membuka tirai jaringan pada minit ke-21 sebelum dibalas Theo Walcott pada minit ke-37 namun Samba Diakite memanfaatkan kecuaian Thomas Vermaelen untuk menghukum Arsenal bagi meraih tiga mata penting musim ini.

Wigan juga menghidupkan kembali peluang untuk keluar daripada zon penyingkiran apabila menang 2-0 ke atas Stoke City sementara Bolton mencatat kemenangan ketiga berturut-turut apabila menang 3-2 ke atas pasukan tercorot, Wolverhampton Wanderers.

Chelsea juga kembali menghambat kedudukan Arsenal dan Tottenham Hostpur bagi mengejar slot Liga Juara-Juara apabila menewaskan Aston Villa 4-2 di Villa Park.

Lain-lain keputusan memperlihatkan Everton menang 2-0 ke atas West Brom dan Fulham mengecewakan Norwich City 2-1. - UTUSAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...